Jieha ok, sorry na…’ – kakak tunang Adib

“JIEHA (Nurul Najihah) okey, sorry na dan terima kasih kerana memahami,” kata kakak kepada tunang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Nurul Najwa Mohd Radzi, ketika ditanya berhubung keadaan adiknya itu.

Nurul Najwa membuat kenyataan ringkas itu ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp selepas ditanya mengenai keadaan adiknya, Nurul Najihah, 25, susulan kematian Muhammad Adib yang parah akibat dibelasah perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, bulan lalu.

Katanya, Nurul Najihah, kini hanya memerlukan ruang untuk menenangkan fikiran dan berehat susulan keadaan yang menimpa dirinya itu.

Nurul Najwa berkata, majlis perkahwinan adiknya itu pada hujung minggu ini dibatalkan dan ahli keluarganya mahu berehat selepas kejadian berkenaan.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan di itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam Isnin lalu.

Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil berkenaan pada 27 November lalu.

Nurul Najihah menerusi entri dalam laman sosial Instagram miliknya kelmarin turut meluahkan rasa sedih atas pemergian bakal suaminya itu di saat menjelang hari pernikahan yang sudah dirancang sebelum ini.

“Al-Fatihah Kudip (Muhammad Adib). Esok (semalam) kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk wedding (perkahwinan) kita.

“Ya abang. Kita balik sama-sama. Patutnya kita balik drive (berkereta). Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku,” catatnya dengan memuat naik gambar kad jemputan perkahwinan mereka yang bertarikh 22 Disember.

Sementara itu, Nurul Najwa mengakui sebahagian kad jemputan majlis perkahwinan adiknya itu sudah diedarkan, namun enggan mengulas lanjut termasuk persiapan pihak keluarganya.

sumber: Metro

Ya kita balik sama-sama, tapi abang dalam keadaan kaku… Tenanglah” – Tunang Adib

Ramai tertunggu-tunggu kenyataan daripada Nurul Najihah yang banyak mendiamkan diri selepas dikecam netizen gara-gara sering memuat naik status yang dikatakan cuba mencari publisiti murahan.

Kecaman tersebut membuatkan Nurul Najihah deactive laman Facebook miliknya.

Kad kahwin yang dimuat naik Nurul Najihah di Instagram miliknya.

Namun pada hari yang penuh kenangan pahit itu, tunangannya berkongsi perasaan sedih kerana kehilangan Muhammad Adib di Instagram miliknya.

“Al-Fatihah Kudip. Esok (Selasa) kita sama-sama cuti untuk balik kampung bagi perkahwinan kita.

“Ya Abang, kita balik. Kita balik sama-sama.

“Esok 18/12/2018 hari kita balik drive.

“Tapi orang balik juga dengan Abang, tapi Abang dalam keadaan kaku.Tenanglah kami. Setenang orang tengok kamu tadi,” tulisnya di Instagram pada malam Isnin.

Dalam pada itu, Nurul Najihah turut memuatnaik beberapa keping gambar bersama Muhammad Adib di InstaStory dengan kata-kata Al-Fatihah.

“Al-Fatihah. Walau apa pun terjadi, ada kenangan yang tidak dapat diganti,” tulisnya.

Gambar kenangan Nurul Najihah bersama Muhammad Adib.

Difahamkan pasangan ini sepatutnya bernikah pada Jumaat ini dan majlis persandingan sebelah pihak perempuan dijadualkan berlangsung pada keesokan harinya (Sabtu).

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 yang menyaksikan perusuh membakar beberapa kenderaan.

sumber: Mstar