Wahai Anak Adam Ingatlah Apabila Berlalu Sehari Maka Hilanglah Sebahagian Daripada Hidupmu.

Loading...

“Wahai anak Adam! Kamu hanyalah hari-hari dalam kehidupan! Apabila berlalu sehari maka hilanglah sebahagian daripada hidupmu.”

Saya terpegun seketika ketika membaca kata-kata hikmah yang diucapkan oleh Imam Hasan Basri yang dikutip daripada kitab al-Zuhd karangan Imam Ahmad bin Hanbal dan buku Qimah al-Zaman ‘Indal ‘Ulama’ (nilai masa di sisi para ulama’) susunan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Ternyata kalam hikmah beliau itu sangat tepat bagi menggambarkan kehidupan manusia.

Bagi orang yang masih diberikan usia pada hari ini (1 Januari 2018) ketika bangkit daripada tidur, maka pujilah Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana bukan semua manusia bertuah diberi usia sehingga menjengah awal tahun 2018.

Masuk sahaja tahun baru, senaraikan nama teman, sahabat handai, saudara mara yang terlebih dahulu dijemput Allah ke alam barzakh.

Pastinya kita yang masih berpeluang meneruskan hidup pada tahun ini mempunyai kelebihan untuk beribadat berbanding mereka. Perhatikan hadith perihal 2 sahabat yang berbeza tahun matinya ini;

Talhah bin Ubaydillah RA menceritakan, pada suatu hari 2 orang lelaki dari Suku Baliyy datang bertemu Rasulullah S.A.W. Keduanya mereka memeluk islam secara serentak. Seorang daripada mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid. Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun kemudian dia pun meninggal dunia. Talhah menyambung: “Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua berada di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu menjemput lelaki yang lewat mati memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan menjemput lelaki yang gugur syahid lebih awal itu memasuki syurga. Malaikat kemudiannya datang semula kepadaku dan berkata: “Pulanglah dahulu, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.” Menjelang pagi Talhah menceritakan mimpinya itu kepada orang ramai. Mereka berasa hairan dengan mimpinya itu. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah S.A.W dan mereka menceritakannya kepada baginda. Tanya baginda: “Apa yang menghairankan kamu semua?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah S.A.W! Lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi mengapa kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga.” Jawab Nabi S.A.W: “Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun?” Jawab mereka: “Benar.” Sambung baginda lagi: “Bukankah dia telah mendapati bulan Ramadhan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu?” Jawab mereka: “Benar.” Sabda Nabi S.A.W lagi: “Maka beza antara mereka lebih jauh daripada langit dan bumi.”Sunan Ibn Majah

Jika hidup ini seperti bateri sebuah telefon, sukatan tenaganya semakin berkurang saban hari. Perkara ini berlaku dalam 3 fasa menurut Allah. Allah berfirman yang bermaksud:

Allah yang mencipta kamu bermula dengan keadaan lemah (ketika bayi dan kanak-kanak), selepas lemah itu Dia jadikan kamu kuat (ketika usia remaja dan dewasa). Setelah itu Dia jadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia cipta apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha KuasaSurah al-Rum 30:54

Secara adat hidup manusia, setelah mencecah usia tua kita akan dijemput Allah meninggalkan jasad yang semakin rapuh dimamah usia.

Setelah roh dipindah masuk ke alam barzakh, jasad kesayangan kita yang sudah sekian lama didiami ini akan bersebati dengan unsur asalnya iaitu tanah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”Surah al-A’raf 7:25

Pun begitu, perlu diingat bahawa syarat untuk mati bukan hanya tua berusia. Berapa banyak buah muda yang gugur mencium bumi kerana pukulan ribut atau terjahan sang tupai. Ada sahaja orang muda yang dijemput pulang kerana kemalangan yang menimpa dan sakit yang menyinggah.

Oleh kerana mati adalah rahsia Allah yang sulit, buanglah falsafah songsang yang dianuti ramai orang iaitu “tunggu tua baru taubat” kerana umur bukan hak kita. Ia hak Allah semenjak azali.

Bahkan menurut Islam, manusia paling bijak bukanlah yang menyandang ijazah berjelatetapi orang yang sentiasa siap siaga serta bersedia menghadapi hidup selepas mati. Sabda Rasulullah S.A.W;

Orang yang bijaksana adalah orang yang menjaga (mengawal) diri (daripada melanggar arahan Allah) dan bersedia untuk kehidupan selepas mati. Si lemah (bodoh) pula adalah orang yang mengikut nafsunya dan berangan-angan agar Allah (mengampunkannya)Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah

Jangan pula rasa gementar apabila bicara umur atau usia dikaitkan dengan mati. Mati adalah makhluk ciptaan yang pasti ditemui semua makhluk bernyawa. Usahkan kita, manusia paling dikasihi Allah pun mati. Firman Allah yang bermaksud;

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu) Surah Ali ‘Imran 3:144

Bukan mati yang perlu kita gusari apabila umur semakin tinggi angkanya, tetapi apa yang kita bawa untuk bertemu Allah selepas kita mati. Apa bekal kita? Ingat pesan Rasulullah S.A.W ini;

Tidak akan berganjak kaki seorang hamba Allah pada hari kiamat (daripada audit akhirat sama ada ke syurga atau ke neraka) sehingga dia disoal tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang ilmunya sejauh mana dia beramal (dengannya), tentang hartanya dari mana dia perolehi serta pada apa dibelanjakannya dan tentang tubuh badannya bagaimana dia gunakannya Sunan al-Tirmidhi

Sempena tahun baru 2018 ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah melihat betapa peluang hidup yang sekali di dunia ini sangat berharga dan tidak patut dibazirkan dengan aktiviti remeh lagi tidak berfaedah.

Jangan sampai dialog sesalan dalam firman Allah ini menjadi tuturan kita di akhirat kelak;

Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian daripada sehari; maka tanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia) Surah al-Mu’minun 23:112-114

Sumber: Dakwah Tv

Loading...
Loading...

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*